Mereka mengetahui bahawa polis-polis di situ terdiri dari orang Melayu. Untuk mengelakkan pertumpahan darah yang besar mereka tak putus-putus melaungkan seruan "surrender", "buang senapang tak mati", agar polis-polis itu terselamat dari maut. Akan tetapi kerana polis-polis itu berlawan mati-matian, mereka terus ditekan dengan tembakan hebat dan lontaran bom tangan sehingga balai polis tersebut terbakar dan ditawan. Kompeni tersebut merampas sejumlah senjata dan peluru.
Selepas pertempuran itu, Mat Indera memimpin rapat umum di kalangan massa. Mat Indera telah menjelaskan pertempuran tersebut kepada massa. Massa rakyat amat terberangsang dengan kemenangan pertempuran tersebut. Mereka menyampaikan tahniah dan menghulurkan derma kepada pasukan.
Pertempuran menyerang Balai Polis Bukit Kepung mencerminkan betapa sengit dan menggeloranya perjuangan untuk kemerdekaan Malaya. Akan tetapi sayangnya ia telah disalah ertikan sebagai "keganasan" oleh penjajah dan juga oleh sebilangan orang yang berpendirian menyokong penjajahan. Sebuah filem Peristiwa Bukit Kepung telah diterbitkan untuk memutarbelitkan sejarah. Dalam filem itu, mereka yang membela penjajah dikatakan sebagai "pejuang, pahlawan" manakala yang berjuang menentang penjajah dikatakan sebagai "pengganas". Ini benar-benar terbalik 180 darjat.